Membasmi Kemiskinan, Membangunkan Kapasiti Dan Keupayaan Kumpulan Sasar

SAARANI: KEMISKINAN PUNYA PENGERTIAN MELUAS

Saarani Mohamad

IPOH “ Cadangan ahli akademik supaya takrif kemiskinan disemak semula mendapat maklum balas positif dari pelbagai pihak agar garis kemiskinan yang lebih realistik diwujudkan bagi membolehkan kerajaan menggubal dasar serta program lebih berkesan untuk menangani masalah berkaitan kemiskinan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, kemiskinan mempunyai pengertian luas bukan hanya kerana tidak cukup keperluan makan dan minum tetapi disebabkan tiada rumah untuk tinggal dengan selesa bersama keluarga.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan mereka yang mendapat harta pusaka misalnya kebun yang luas tetapi tiada hasil maka ia juga dikategorikan sebagai miskin kerana tiada pendapatan. sebagai contoh, gaji RM3,000 tetapi anak 10 orang dan semua belajar di universiti.

Sudah tentu ia tidak mencukupi kerana kos sara hidup semakin tinggi.

“Gaji memang tinggi tetapi banyak perkara perlu diuruskan termasuk keperluan asas yang lain, katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, di Malaysia, mereka yang miskin tegar pendapatan isi rumah sekitar RM440 sebulan dan jika diikutkan, memang tidak ramai yang mempunyai jumlah pendapatan sedemikian melainkan mereka adalah warga emas, cacat atau uzur.

Bagi mereka yang tinggal di kampung dengan pendapatan RM1,500 adalah tidak miskin tetapi bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dengan jumlah itu, mereka berada dalam kategori miskin kerana ia berhubung kait dengan kos sara hidup, katanya.

Beliau memaklumkan, kerana memahami kesusahan rakyat, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah melancarkan Skim Rumah Insan Amanjaya di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dengan had kelayakan ditetapkan untuk mereka yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Ada orang yang tidak mampu untuk membuat atau membeli rumah sendiri kerana kos sara hidup yang semakin meningkat. Mereka lebih memfokuskan untuk menyediakan keperluan lain bagi keluarga, katanya.

SUMBER : SINARHARIAN

Komen-komen
Loading...