Membasmi Kemiskinan, Membangunkan Kapasiti Dan Keupayaan Kumpulan Sasar

SKIM MIKRO KREDIT YBU AR-RAHNU YaPEIM DAPAT SAMBUTAN BAIK

Skim mikro kredit menerusi gadaian emas yang baru tujuh bulan diperkenalkan oleh Yayasan Bina Upaya Ar-Rahnu Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM ) mendapat sambutan baik dikalangan rakyat berpendapatan rendah dinegeri ini.

Timbalan Pengerusi YBU Darul Ridzuan, Khairul Azwan Harun berkata, sambutan baik ini berdasarkan kejayaan yang dicapai YBU Ar-Rahnu Sdn. Bhd -YaPEIM kerana mengumpul nilai marhun atau nilai fizikal emas yang telah digadaikan dan berada dalam simpanan bagi tempoh tujuh bulan kini mencecah hampir RM4.8 juta.

“Kita menganggarkan kalau trend baik ini berterusan sehingga hujung tahun kini ia boleh mencecah RM8 juta, katanya pada sidang media di pejabat Yayasan Bina Upaya Ar-Rahnu Sdn Bhd di sini hari ini.

Menurut Khairul, bagi memastikan program Ar-Rahnu ini memainkan peranannya bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah, Menteri Besar Perak, Dato Seri Dr Zambry Abd Kadir telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM 5 juta .

Katanya, dana tambahan tersebut adalah untuk dana pusingan bagi pembiayaan mikro kredit kerana kerajaan negeri mahu memastikan program berkenaan terus menempa kejayaan.

Beliau menjelaskan program ini benar-benar telus dan terbukti mampu membantu rakyat terutama golongan keterbawahan untuk datang mendapatkan tunai dengan kadar cepat dan mudah.

“Ini berikutan kekangan dan halangan yang terpaksa dihadapi golongan keterbawahan ini untuk mendapatkan tunai dari pihak bank dan syarikat swasta yang lain, katanya.

“Rakyat Perak terutama golongan keterbawahan ini amat bernasib baik kerana program ini mengenakan yuran simpanan gadaian emas dengan kadar yang amat rendah, katanya.

Menurut Khairul, melalui gadaian emas ini, pihaknya telah mengeluarkan pembiayaan mikro kredit berjumlah hampir RM3.01 juta bagi tempoh sehingga April tahun ini.

“Bagi setiap pelanggan atau penggadai yang datang ke pusat Ar-Rahnu “YaPEIM, setiap RM100 nilai emas yang digadaikan kita mengeluarkan pembiayaan mikro kredit berjumlah 65 peratus daripada jumlah gadaian nilai emas yang diberikan.

“Sebagai contoh kalau nilai gadaian itu adalah RM100 maka penggadai akan menerima RM65 dalam bentuk pinjaman mikro kredit tunai yang dikeluarkan oleh pusat ini.

“Kita hanya mengenakan upah simpanan bagi setiap emas yang digadai ataupun dicagarkan dan disimpan ditempat kita dengan caj upah simpanan yang jumlah 1 peratus, katanya.

Beliau berkata, sekiranya nilai emas yang dicagarkan itu harga nilai marhun iaitu nilai emas yang digadai harganya RM800 kebawah maka kadar upah simpanan adalah 50 sen sahaja sebulan.

“Bagi nilai gadaian emas RM800 keatas hingga RM2,000 kita kenakan upah simpanan sebanyak 65 sen sebulan dan sekiranya nilai gadaian emas RM 2001 keatas kita kenakan 75 sen sebulan.

Bagaimanapun, katanya bagi pelanggan atau penggadai yang mendaftar didalam e-kasih dan di YBU mereka dikenakan caj upah simpanan 10 sen sebulan bagi setiap RM100 nilaian gadaian emas.

SUMBER: PERAKNEWS

Komen-komen
Loading...