Membasmi Kemiskinan, Membangunkan Kapasiti Dan Keupayaan Kumpulan Sasar

HARAPAN BARU PENJUAL AISKRIM

Berat mata memandang , berat lagi bahu memikul. Begitulah kedaifan dan penderitaan Lee Kong Wah, 50, terpaksa mengharungi kehidupan di dalam rumah usang peningggalan bapanya.

Lee Kong Wah menderita di kerusi roda setelah kudratnya tidak lagi mengizinkannya untuk mencari rezeki. Rutin kehidupan sehariannya hanya mampu menghabiskan hari-hari di kerusi roda setelah kaki kanannya tidak berdaya bergerak akibat jangkitan kuman setahun yang lalu.

“Lebih setahun saya mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan ais krim di sekitar bandaraya Ipoh. Kini saya tidak mampu lagi untuk keluar berniaga memandangkan kaki saya masih memerlukan rawatan, katanya ketika ditemui di rumahnya Batu 6, Tambun.

Lee Kong Wah yang tinggal bersama ibunya, Kong Moi, 71, terpaksa mengagihkan RM150.00 sebulan yang diperolehi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan yang saya terima setiap bulan sememangnya tidak mencukupi kerana saya kos perubatan untuk kaki saya mencecah RM200.00 sebulan.

“Adakalanya kami hanya mampu makan mi segera sahaja setelah bekalan beras kehabisan. Kehidupan kami semakin getir dan tidak mengizinkan untuk keluar berniaga, katanya.

Menurut ibunya, rumah yang didiami sekarang semakin uzur. Usia rumah yang mencecah 30 tahun itu telah didirikan oleh mendian suaminya.

Suami saya telah meninggal dunia dua puluh tahun yang lalu. Saya hanya bergantung nasib pada anak saya Lee Kong Wah. Anak-anak saya yang lain telah mendirikan rumah tangga dan tidak pernah untuk menjengguk kami, katanya dengan nada sedih.

Kedaifan dua beranak itu mendapat perhatian dari Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR). Ketua Eksekutif YBU, Datuk Zainal Abidin berkata adalah menjadi kewajipan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan sasar seperti ini.

Kami telah mengenal pasti kedaifan keluarga ini dan menyumbangkan wang pinjaman mikrokredit sejumlah RM5000.00 bagi Lee Kong Wah menjalankan semula perniagaan menjual ais krim setelah kakinya pulih dari kesakitan. Lee Kong Wah memerlukan wang bagi memperbaiki motosikal dan peti aiskrimnya yang mengalami kerosakan, katanya.harapan-aiskrim2

Menurut Zainal Abidin, rumah yang didiami oleh dua beranak ini akan di baik pulih terutamanya di bahagian dapur dan bilik tidur.

Keadaan dinding yang semakin mereput serta bumbung yang berlubang dikuatiri mengancam keselamatan jika berlaku ribut dan hujan lebat. YBUDR akan mengeluarkan peruntukan sejumlah RM15,000.00 bagi menjalankan kerja-kerja pembaik pulih rumah ini, katanya.

Kepada yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bolehlah menghubungi terus YBUDR di talian 05 – 255 5945 / 5946 atau hadir terus ke pejabat Aras D-2-1,Greentown Square, Jalan Dato’ Seri Ahmad Said, 30450, Ipoh, Perak .

SUMBER: PERAKNEWS

Komen-komen
Loading...