Membasmi Kemiskinan, Membangunkan Kapasiti Dan Keupayaan Kumpulan Sasar

IMPIAN MEMBUKA PERNIAGAAN KEDAI RUNCIT TERCAPAI

Impian Achu a/l Ngah untuk membuka perniagaan kedai runcit tercapai apabila beliau berjaya mendapat pinjaman Skim Kredit Mikro sebanyak RM15,000 daripada Yayasan Bina Upaya.

Achu, 39, menyimpan hasrat itu sejak mula berjinak-jinak diri dalam bidang perniagaan sejak 12 tahun lalu menjumpai jalan untuk merealisasikan impian setelah terbaca mengenai skim pinjaman itu melalui akhbar.

Saya mengetahui mengenai skim tanpa faedah setelah membaca satu berita ketika Menteri Besar melancarkan skim tersebut dan menyatakan kerajaan memperuntukkan RM4 juta bagi membantu orang miskin seperti saya menceburi bidang perniagaan.

Saya amat gembira kerana saya seolah-olah menemui satu jalan baru. Setelah berfikir saya terus ke pejabat yayasan untuk membuat permohonan, kata Achu dari Kampung Sungai Plantok, Ulu Kuang, Chemor, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis perasmian kedai runcit oleh ADUN Lintang Datuk Ahamad Pakeh Adam.

Menyorot kembali pembabitannya dalam bidang perniagaan, Achu berkata semuanya bermula sejak beliau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual minyak petrol kepada penduduk yang rata-rata bergantung kepada generator untuk bekalan tenaga eletrik.

Keinsafan yang timbul daripada kesusahan hidup menyebabkan satu tekad untuk mencebur diri dalam bidang perniagaan bagi memperbaiki taraf kehidupan keluarga. Saya harap langkah saya ini menjadi contoh kepada masyarakat orang asli lain membuat perubahan dalam hidup mereka, katanya Achu.

Sebelum itu, bapa kepada tiga orang anak yang masih bersekolah bergantung hidup dengan mencari akar-akar kayu dan mengambil upah kerja kampung untuk menyara keluarganya.

Kejayaan Achu membuka kedai runcit memberi sinar harapan kepada 400 penduduk Kampung Sungai untuk mengubah nasib selain memberi kemudahan mendapatkan bekalan harian dan runcit.

Sebelum itu, penduduk menghadapi kesukaran mendapatkan barangan harian kerana kedai runcit berdekatan terletak hampir 5km jauhnya.

Sejak beroperasi sebulan lepas, Achu berjaya membuat keuntungan sekitar RM30 hingga RM50 sehari hasil jualan kedai runcitnya yang beroperasi daripada 7.30 pagi hingga 10.30 malam.

Walaupun baru sebulan beroperasi, Achu juga sudah mula membuat bayaran balik pinjamannya sebanyak RM170 sebulan.

Apa yang lebih membanggakan, Achu telahpun meletakkan sasaran mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Sementara itu, Ketua Khidmat Pengurusan Ilmu YBU, Yusof Nordin berkata bahawa pihak YBUDR menerima 3 lagi permohonan membuka perniagaan runcit daripada orang asli di simpang Pulai dan dua lagi di Banding, Gerik.

YBU mensasarkan untuk membuka perniagaan runcit di 255 perkampung orang asli di seluruh Perak, katanya.

SUMBER : PerakNews

Komen-komen
Loading...