Membasmi Kemiskinan, Membangunkan Kapasiti Dan Keupayaan Kumpulan Sasar

SKUAD YOB BUAT KERJA AMAL

Sukarelawan PAFA

BUAT kali pertama dalam sejarah pasukan bola sepak negeri, semua pemain Perak diberi pendedahan bukan saja menerusi latihan intensif dan tersusun, malah mereka dikerah ˜turun padang bertemu rakyat yang kurang bernasib baik dengan menjalani kerja kemasyarakatan.

Dalam satu program anjuran Yayasan Bina Upaya (YBU), semalam, semua 28 pemain Seladang bergotong-royong membaiki rumah usang serta membersihkan perkarangan sebuah keluarga daif di Parit 22, Sungai Lampam Utara, Sungai Manik, Perak.

Program satu hari itu turut disertai Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Ketua Pengarah Eksekutif YBU yang juga pengurus pasukan bola sepak negeri, Khairul Azwan Harun, Naib Presiden 1 Pafa, Khairuddin Ahmad dan penolong pengurus pasukan, Mohd Shahrul Azhar.

Antara aktiviti dilakukan termasuk membersihkan kawasan sekeliling rumah, membina dinding, membaiki atap rumah serta menurap lantai simen.

Zainol berkata, program itu salah satu aktiviti Pafa dalam usaha mendekatkan pemain dengan masyarakat terutama peminat skuad Seladang.

Selama ini, mereka asyik menjalani latihan saja tanpa henti. Mereka perlu diberi peluang merehatkan minda. Aktiviti sebegini mampu memberi mereka peluang merapatkan jurang antara peminat dan pemain.

Sebelum pertandingan bermula mereka mendapat peluang berjumpa peminat dan menanamkan semangat cintakan pasukan negeri sendiri. Pemain tidak boleh dibiarkan begitu saja tanpa diberi pendedahan kepada umum, malah mereka juga ingin tahu siapa pemain bola sepak negeri, katanya.

Sementara itu, pemilik rumah usang itu, Siti Mariah Idris, 65, berkata, kunjungan skuad Seladang ke rumahnya membawa banyak erti.

Katanya, mereka bukan saja membantu membaiki rumahnya malah dapat mendampingi pemain kesayangan negeri Perak itu.

Saya terkejut dan teruja apabila rumah saya dikunjungi bekas bintang bola sepak kebangsaan, Akhmal Rizal Rakhli. Saya tidak sangka pemain itu boleh berada di rumah saya bersama Nantha (Nanthakumar) dan Chan (Chan Wing Hong) serta barisan pemain Liga Super Perak.

Sebelum ini, saya hanya melihat mereka di kaca televisyen dan akhbar dan ini kali pertama saya melihat mereka dengan mata sendiri, katanya yang tidak ketinggalan mengikuti perkembangan bola sepak Perak.

SUMBER : HARIAN METRO

Komen-komen
Loading...